PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan seorang suri rumah untuk mengembalikan semula saman kecuaian terhadap Ketua Pengarah Imigresen dan kerajaan Malaysia selepas tersilap mengenal pasti wanita itu sebagai muflis dan dihalang daripada ke luar negara.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa saman S. Sumathi bukanlah kes obvious and unsustainable (yang jelas dan tidak boleh dikekalkan) sehingga wajar dibatalkan.
Beliau berkata Sumathi telah mematuhi keperluan di bawah Akta Prosiding Kerajaan, yang menetapkan bahawa penjawat awam yang terlibat dalam perkara terbabit perlu dinamakan dengan betul dalam saman.
Hakim Sequerah berkata dalam kes ini, Ketua Pengarah Imigresen dikenal pasti dengan tepat sebagai penjawat awam seperti dikehendaki dalam Akta Tafsiran.
Beliau bersidang bersama-sama Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Nadzarin Wok Nordin. Mahkamah kemudian menganugerahkan Sumathi sebanyak RM15,000 bagi kos guaman.
Seorang daripada peguam Sumathi, M. Hariharan memberitahu media bahawa kes berkenaan telah dikembalikan kepada Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan penuh.
Pada 21 Mei 2024, Mahkamah Sesyen membatalkan saman Sumathi atas alasan dia gagal menamakan pegawai imigresen yang menahannya di pintu pelepasan, sebagai defendan. Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada 3 Mac lepas.
Sumathi, 44, memfailkan saman dengan menamakan Ketua Pengarah Imigresen dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dalam penyataan tuntutannya, dia dan 16 ahli keluarga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) untuk menaiki penerbangan ke New Delhi, India pada 25 Nov 2022. Kesemua ahli keluarga, kecuali dirinya, melepasi pintu automatik pemeriksaan pasport imigresen.
Wanita itu berkata dia dihalang daripada menaiki pesawat selepas pemeriksaan oleh pegawai pada sistem komputer jabatan menunjukkan dia seorang muflis dan disenaraihitamkan daripada meninggalkan negara.
Dia mendakwa ditinggalkan apabila keluarganya berlepas tanpa dirinya. Keesokannya wanita itu pergi ke Jabatan Insolvensi dan Jabatan Imigresen, yang telah mengesahkan bahawa dia bukanlah individu dalam senarai hitam terbabit.
Kemudian, suri rumah berkenaan mendapat tahu bahawa individu yang disenarai hitam itu berkongsi nama dan tarikh kelahiran yang sama, namun nombor kad pengenalan berbeza pada digit akhir. Selepas itu, Sumathi membeli tiket baharu dan terbang ke India dua hari kemudian untuk menyertai ahli keluarganya yang lain.
Dalam penyataan pembelaan, Ketua Pengarah Imigresen dan kerajaan memaklumkan rekod pihaknya adalah tepat dan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Mereka mendakwa pegawai bertugas telah bertindak sewajarnya ketika Sumathi tiba di kaunter balai pelepasan, semasa proses soal siasat dan juga menghalangnya daripada meneruskan perjalanan.
Selain Hariharan, peguam M. Manoharan turut mewakili Sumathi manakala Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim mewakili Ketua Pengarah Imigresen dan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial