AM

Motosikal Diubah Suai Perlu Patuhi Spesifikasi, Dapat Kelulusan - Loke

25/08/2025 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Penggunaan motosikal yang diubah suai untuk membawa barangan perlu mematuhi spesifikasi teknikal ditetapkan dan mendapat Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata kenderaan berkenaan juga perlu mendapatkan kelulusan dan kebenaran Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ bagi motosikal berdaftar yang telah dilakukan pengubahsuaian teknikal dan didaftarkan sebagai kenderaan barangan bagi tujuan kegunaan komersial.

“Kita tahu ada motosikal yang diubah suai, namun begitu mana-mana motosikal yang diubah suai dan tidak mematuhi syarat-syarat dan tidak mendapat kelulusan VTA… penggunaan itu tidak mengikut undang-undang, maka ia tidak ada insurans dan membayar cukai jalan dan sebagainya.

“Sudah tentu kalau berlaku apa-apa risiko ditanggung sendiri oleh pengguna itu. Jadi kita nak menasihatkan pengguna, para petani dan sebagainya supaya mendapatkan kelulusan agar mereka dilindungi dan menggunakan kenderaan itu mengikut undang-undang secara sah,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai sejauh mana kementerian bersedia memberikan garis panduan terhadap motosikal roda tiga yang diubah suai dan digunakan di kawasan luar bandar untuk mengangkat barangan pertanian.

Loke berkata JPJ bersedia memberikan penerangan dan bantuan teknikal berhubung proses kelulusan  VTA bagi model motosikal baharu yang ingin digunakan atau diubah suai.

“Motosikal roda tiga jenis side car (Kategori L4) antara contoh motosikal tiga roda barangan yang telah didaftarkan dan dilesenkan untuk kegunaan di negara ini. Motosikal jenis ini dibenarkan digunakan di atas jalan raya dan hanya boleh didaftarkan sebagai kenderaan barangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan