JOHOR BAHRU, 24 Ogos (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk memantau dan bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan, susulan gempa bumi melanda Segamat dan gegaran kedua di 28 kilometer (km) Barat Laut Kluang pagi tadi.
Pengarah APM Johor Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar berkata walaupun tiada laporan kerosakan serius diterima setakat ini, pasukannya telah menggerakkan anggota bagi memantau situasi semasa di kawasan terlibat.
“APM bertugas 24 jam. Sekiranya berlaku bencana, anggota kami sedia digerakkan pada bila-bila masa. Kami sentiasa memantau perkembangan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata sebanyak tujuh anggota APM telah dikerahkan untuk pemantauan awal di lokasi terlibat mengikut syif, dengan tumpuan diberikan di Segamat.
Pihaknya juga, katanya sedang menilai laporan di lapangan termasuk di Surau Kampung Sanglang, Segamat yang dilaporkan mengalami sedikit kerosakan akibat gegaran bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan besar. Jadi kita akan teruskan pemantauan dan jika ada keperluan baru kita akan mobilisasikan anggota untuk bertugas,” katanya.
Kamal berkata APM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan lain dalam menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kejadian bencana seperti ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di 28 km Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial