SHAH ALAM, 24 Ogos (Bernama) -- Seorang pelajar kolej swasta maut selepas terjatuh dari jejambat pada ketinggian 21 meter apabila motosikal ditunggangnya terbabas di susur 1/B 0.5 Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian pada 10.40 pagi berlaku selepas motosikal ditunggang pelajar lelaki berusia 19 tahun itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan semasa melalui selekoh dari Persiaran Mokhtar Dahari ke susur 1/B 0.5 lebuh raya itu.
“Impak kemalangan menyebabkan mangsa terjatuh dari jejambat ke kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa.
“Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman menerusi talian 017-2836851 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial