SUKAN

Sukan SEA Pekak 2025: Negaraku Berkumandang Dua Kali Di Arena Boling

23/08/2025 07:28 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

JAKARTA, 23 Ogos (Bernama) -- Negaraku bergema dua kali di Jaya Ancol Bowling Centre di sini selepas skuad boling negara menghadiahkan emas berganda menerusi acara beregu lelaki dan wanita pada Sukan SEA Pekak 2025, hari ini.

Gandingan mantap Ho Choon Seong-Mohd Firdaus Mohamad memastikan Jalur Gemilang berkibar megah selepas mencatatkan 2,566 jatuhan pin menewaskan pasangan Filipina, George C Maniozo-Kristofferton Ivan Burgus (2,307) dan rakan senegara, Muhammad Haziq-Muhammad Firdaus Ahmad yang meraih gangsa dengan 2,267.

Skuad wanita juga mencapai kejayaan apabila Siong Mui Hong-Siw Sing He mendapatkan emas kedua negara dengan jumlah 2,218 jatuhan pin mengetepikan cabaran Filipina, Maria Lovella Catalan-Ma Cecelia Villacin (2,200) dan gandingan Malaysia, Zuriana Roslan-Huwainaa Danduan Abdullah memperoleh gangsa (2,150).

Bagi Mohd Firdaus, kemenangan hari ini bukan sahaja lahir daripada strategi dan kerjasama mantap di gelanggang tetapi juga hasil doa serta restu keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang perjuangan mereka.

“Hari ini sebenarnya kami menang sebab ada keluarga yang yakin dan sentiasa mendoakan kami. Kemenangan ini untuk mereka,” katanya menerusi jurubahasa isyarat.

Rakan gandingannya, Ho Choon Seong, menambah kejayaan itu dianggap sebagai tonik terbaik menjelang saingan trio esok. 

Sementara itu, bagi pasangan wanita, Mui Hong menjelaskan kerjasama erat sesama rakan sepasukan menjadi kunci utama kejayaan mereka.

Beliau turut mengakui dorongan dan semangat sepasukan menjadikan mereka lebih yakin, selain sokongan berterusan daripada jurulatih.

“Jurulatih memang jadi pembakar semangat. Malah sebelum turun untuk trio esok, jurulatih pesan, wajib menang, itu yang buat kami lebih yakin Malaysia boleh,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan