TANJONG MALIM, 22 Ogos (Bernama) -- Tanjong Malim terus berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai hab automatif unggul apabila konglomerat multinasional BYD akan membuka kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di bandar itu dengan pengeluaran dijangka bermula pada 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata fasa pertama projek itu akan melibatkan kawasan seluas 60 hektar dan dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Beliau berkata projek itu adalah pencapaian besar daripada pelaksanaan Muallim Speed Lane (M-SL) oleh kerajaan negeri yang mempercepat proses kelulusan pelaburan strategik.
Menurutnya pelaburan BYD bukan sahaja memberi impak besar kepada ekonomi negeri malah mempercepat pembangunan sektor pembuatan berteknologi tinggi dan industri hijau.
"Selain itu, pelaburan BYD adalah satu langkah penting dalam menjayakan inisiatif Lembah Teknologi Tinggi Automotif Tanjung Malim (AHTV) yang sedang dilaksanakan di Tanjong Malim," katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Pembangunan Industri Daerah Muallim di Majlis Daerah Tanjong Malim dekat sini hari ini.
Loh berkata kehadiran BYD akan memperkukuh ekosistem automotif di Perak melalui kewujudan sinergi bersama Proton/Geely dan sokongan industri yang sama di utara Selangor selain rancangan penubuhan pusat R&D yang bakal dibangunkan di Sungkai.
Beliau berkata kelulusan tanah telah dimulakan pada Mei lepas manakala kerja-kerja awal bermula Julai.
Menurut Loh pembinaan kilang dijangka bermula pada akhir Ogos ini dengan majlis pelancaran dijadual disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada 4 September.
"Kilang itu juga akan memberi peluang kerjasama lebih luas kepada syarikat tempatan dalam sektor rantaian bekalan automotif selain memperkasakan penduduk dengan kemahiran teknologi hijau," katanya.
Menurutnya kewujudan BYD juga adalah bukti keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI serta komitmen kerajaan negeri untuk menjadi peneraju dalam industri automotif berteknologi tinggi dan inovasi hijau.
Sementara itu, Loh berkata pembinaan infrastruktur kilang EV pertama Proton Holdings Bhd di Tanjung Malim kini mencapai 90.4 peratus manakala pemasangan peralatan pada 83.5 peratus, menjadikan kemajuan keseluruhan projek pada 86.9 peratus.
Katanya kemajuan projek itu menunjukkan kilang berkenaan hampir siap dibina dan bersedia untuk beroperasi dalam tempoh terdekat.
"Kehadiran pelabur baharu termasuk BYD turut memperhebat pembangunan hab automotif di Tanjung Malim sekali gus mengukuhkan kedudukan Perak sebagai pusat pengeluaran kenderaan berteknologi tinggi dan hijau di rantau ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial