EKONOMI

Keuntungan Bersih Dialog Group Turun Kepada RM303.83 Juta Pada Tahun Kewangan 2025

20/08/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Dialog Group Bhd untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025 merosot kepada RM303.83 juta berbanding RM575.03 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2024.

Hasil turun kepada RM2.5 bilion daripada RM3.15 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dialog Group berkata prestasi lemah tahun itu kebanyakannya dipengaruhi oleh kerugian selepas cukai yang dilaporkan pada suku kedua, sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan sekali gus dalam projek petrokimia dan boleh diperbaharui serta projek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) lebihan kos projek.

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun, 2025 (suku keempat 2025), kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM147.38 juta daripada RM138.42 juta dicatatkan pada suku keempat 2024 manakala hasil turun kepada RM608.34 juta daripada RM810.07 juta sebelumnya.

Keuntungan lebih tinggi itu didorong oleh sumbangan daripada kedua-dua operasi Malaysia dan antarabangsa serta bahagian keuntungan daripada usaha sama dan syarikat bersekutu kumpulan itu, katanya.

Mengenai propek, ia berkata kumpulan itu akan terus mengembangkan kehadirannya menerusi pembangunan dan rejuvenasi medan minyak dan gas untuk perniagaan huluan.

Untuk perniagaan hilirannya, kumpulan akan terus memanfaatkan kekuatannya dan rekod prestasi yang mantap dalam perkhidmatan teknikal bersepadu yang terdiri daripada EPCC, penyelenggaraan loji dan perkhidmatan pengendalian pemangkin serta produk dan perkhidmatan pakar.

"Kumpulan itu akan mengambil pendekatan berhati-hati dan terpilih untuk membida kontrak EPCC, mengutamakan projek dalaman (in-house)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan