AM

Daftar Pemilih Tambahan Julai 2025 Dibuka Untuk Semakan - SPR

20/08/2025 07:05 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai Tahun 2025 (DPT BLN7/2025) boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 18 Sept depan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Beliau berkata DPT BLN7/2025 yang diperaku dan diwartakan hari ini mengandungi 42,464 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Selain itu Khairul Shahril berkata ia turut mengandungi 15,109 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,523 orang pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

"SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Julai 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN7/2025," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my), aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my), aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian 03-8892 7218.

Khairul Shahril berkata sekiranya pemilih mendapati nama tidak disenarai dalam DPT BLN7/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C manakala yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama mereka boleh mengisi Borang D.

Beliau berkata sebarang pertanyaan berkaitan semakan DPT BLN7/2025 boleh diajukan kepada SPR melalui portal rasmi atau menghubungi talian hotline SPR 03-8892 7218.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan