AM

Keadilan Hak Setiap Individu Sejak Lahir, Bukan Keistimewaan Untuk Segelintir - Azalina 

19/08/2025 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Keadilan bukanlah keistimewaan yang hanya dinikmati oleh segelintir pihak sahaja sebaliknya ia adalah hak setiap individu sejak lahir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk melakukan reformasi kerana masih terdapat 4.5 bilion orang di seluruh dunia yang tidak dapat menikmati perlindungan undang-undang dan oleh itu, Malaysia harus terus memperkukuh komitmennya bagi memperjuangkan keadilan serta kesaksamaan di bawah undang-undang.

"Nelson Mandela pernah mengingatkan kita, 'Sesebuah negara tidak seharusnya dinilai daripada cara ia melayan warganya yang paling hebat tetapi hendaklah dinilai daripada cara ia melayan warganya yang tidak punya apa-apa'. Ketika ini, terdapat 4.5 bilion orang yang masih tidak dilindungi oleh undang-undang, jadi misi kita amat penting dan mendesak. 

"Kita tidak boleh membiarkan keadilan menjadi keistimewaan segelintir orang sahaja kerana ia seharusnya menjadi hak setiap individu sebaik sahaja dilahirkan," katanya ketika berucap pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 bertemakan 'Meningkatkan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN: Merapatkan Kerjasama Undang-Undang untuk Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

She stated that, according to the World Justice Project, around 1.5 billion people are unable to resolve their civil, administrative, or criminal legal issues. 

"Sebanyak 4.5 bilion orang masih terkecuali daripada menikmati manfaat dan perlindungan yang sepatutnya disediakan oleh undang-undang manakala 253 juta orang hidup dalam ketidakadilan yang melampau, menjadi mangsa tanpa negara, perhambaan moden dan tahap keselamatan yang begitu rendah. 

"Malaysia telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan. Dari tahun 2016 hingga 2023, kedaulatan undang-undang kita meningkat sebanyak 5.1 peratus, menjadikan kita antara negara berprestasi terbaik dalam bidang ini. 

"Bagaimanapun, gambaran global kurang optimistik. Antara tahun 2023 dan 2024, kedaulatan undang-undang merosot di 57 peratus negara. Ini bermakna ketika ini, sejumlah 6.3 bilion orang tinggal di negara-negara yang kedaulatan undang-undangnya semakin merosot," katanya.

Azalina juga berkata kerajaan sedang melaksanakan reformasi yang besar ke atas rangka kerja undang-undang komersial Malaysia, bermula dengan kajian menyeluruh terhadap Akta Kontrak 1950. 

"Menjalin kerjasama rapat dengan ahli akademik, pakar perundangan, pemain industri dan masyarakat sivil, kita sedang menangani perkara utama seperti terma yang tidak adil, undang-undang siber dan transaksi digital. 

"Pada masa sama, kami sedang mengkaji semula undang-undang teras lain termasuk Akta Jualan Barang bagi memastikan sistem perundangan kita kekal relevan, mesra perniagaan serta mampu menyokong inovasi dan perdagangan global," katanya.

Turut hadir pada majlis pembukaan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Datuk Zamri Misman, Setiausaha Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) Anna Joubin-Bret serta wakil-wakil negara anggota ASEAN dan rakan dialog.

Forum tiga hari itu menghimpunkan 58 penceramah dan moderator dalam 15 sesi pakar dengan dihadiri lebih 300 peserta dari ASEAN dan negara lain merangkumi perbincangan perkara berkaitan penyelesaian pertikaian alternatif, reformasi undang-undang komersial serta perniagaan dan hak asasi manusia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan