GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian sebuah kereta terkena anak panah di Jalan Macalister di sini yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata laporan itu dibuat pemandu kereta berkenaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 57 tahun dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.30 petang, 13 Ogos lepas.
“Ketika pengadu memandu kereta dalam perjalanan dari Air Itam menghala ke Jalan Pangkor dan semasa melalui Jalan Macalister, tiba-tiba sebatang anak panah disyaki daripada aktiviti sukan memanah telah terlekat pada pintu kanan belakang keretanya.
“Bagaimanapun, lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rozak berkata hasil semakan mendapati terdapat aktiviti latihan sukan memanah di padang sekolah bersebelahan Jalan Macalister anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang dan ia telah diberhentikan pada 14 Ogos selepas kejadian tersebut dilaporkan.
Beliau memaklumkan kejadian itu juga telah dilaporkan kepada MSN Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri oleh pihak sekolah.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 51 saat memaparkan seorang pemandu kereta yang terkejut selepas sebatang anak panah terlekat pada keretanya ketika melalui jalan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial