EKONOMI

Eksport Ke Pasaran Utama Kekal Mampan, Disokong Oleh Permintaan E&E - MBSB IB

19/08/2025 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangkakan eksport  ke pasaran utama akan mencatatkan pertumbuhan mampan pada masa depan, disokong oleh permintaan yang stabil bagi produk elektrikal dan elektronik (E&E) walaupun berdepan cabaran tarif.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu berkata usaha berterusan bagi mengembangkan hubungan perdagangan dua hala dan mempelbagaikan pasaran eksport dijangka membantu mengurangkan beberapa kesan buruk langkah tarif. 

“Usaha untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan hubungan dua hala seharusnya mengurangkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS), manakala penggunaan domestik yang berdaya tahan akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan luaran,” katanya. 

MBSB IB berkata tarif sebanyak 19 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia baru-baru ini, walaupun lebih rendah berbanding jangkaan, masih memberi risiko kepada eksport negara, terutama ke AS.

“Tarif AS sebanyak 19 peratus ke atas eksport Malaysia dijangka mendorong perdagangan yang lebih perlahan pada akhir tahun ini, dengan permintaan yang lebih lemah daripada rakan dagangan utama menambah kepada risiko penurunan.

“Penurunan dalam eksport perlombongan akan mempengaruhi prestasi eksport keseluruhan, diimbangi hanya sebahagiannya dengan daya tahan eksport E& E,” katanya. 

Oleh itu, MBSB IB terus mengunjurkan pertumbuhan eksport yang sederhana kepada dua peratus pada 2025, manakala pertumbuhan import dijangka menyusut kepada 4.5 peratus, mencerminkan prospek yang lebih berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan yang berterusan. 

“Sementara itu, permintaan domestik China yang lemah terus menjejaskan prospek perdagangan,” katanya. 

Hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada Julai 2025, melonjak semula sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion, nilai dagangan bulanan tertinggi yang pernah direkodkan. 

MITI berkata eksport meningkat 6.8 peratus kepada RM140.45 bilion, nilai bulanan tertinggi sejak September 2022, manakala import naik 0.6 peratus kepada RM125.47 bilion. 

Katanya, lebihan dagangan terus direkodkan bagi bulan ke-63 berturut-turut, berjumlah RM14.98 bilion pada Julai 2025. 

Menurut kementerian itu, eksport produk E&E meningkat dengan ketara iaitu hampir RM12 bilion kepada RM63.31 bilion, peningkatan 22.5 peratus tahun ke tahun, berbanding Julai 2024.

“Ia kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan eksport Malaysia, selain peralatan saintifik dan optikal serta makanan yang diproses,” tambah MITI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan