KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa angka pelaburan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merujuk secara khusus kepada cadangan pelaburan yang telah diluluskan.
Beliau berkata ia hanya meliputi sektor pengilangan dan perkhidmatan di bawah bidang kuasa MIDA yang meliputi pelaburan domestik dan juga pelaburan asing.
"Pengiraan pelaburan langsung turut merujuk kepada jumlah kos projek seperti tanah, kilang dan jentera,” katanya dalam satu hantaran di platform Instagram di mana beliau memuat naik semula penjelasan yang dibuat mengenai perkara itu pada tahun lepas.
Dalam hal itu katanya, ia berbeza dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) bersih yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kerana hanya mengira aliran masuk dan keluar pelaburan asing.
“Mereka (DOSM) tidak mengambil kira pelaburan domestik," kata beliau.
Dalam video itu, Tengku Zafrul berkata pengiraan untuk pelaburan asing oleh DOSM adalah berbeza di mana ia berdasarkan transaksi kewangan termasuk pelaburan dalam ekuiti seperti saham, hutang, dividen dan keuntungan yang dilabur semula.
"Contohnya, kalau ada syarikat asing beli saham dan ambil alih syarikat tempatan, yang itu MIDA tak kira sebagai pelaburan langsung sebab tidak ada projek baharu.
"Tapi bagi DOSM, ia dikira sebagai FDI. Jadi, pelaburan diluluskan MIDA dan FDI bersih oleh DOSM memang mengukur benda yang berbeza dan tidak boleh jika dibandingkan," katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata status pelaburan diluluskan yang diumumkan oleh MIDA akan dikeluarkan dari semasa ke semasa berhubung pelaburan yang telah dilaksanakan atau telah siap.
"Komen kata tak nampak pelaburan masuk? Ya… kilang itu tak semestinya dibuat di sebelah rumah kita, jadi memanglah tak nampak.
"Tetapi kalau kita pergi lihat di kawasan perindustrian, contohnya di Pulau Pinang, hab semikonduktor Malaysia, insya-Allah boleh nampak pembangunan pesat, banyak kilang-kilang baharu," tambah beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial