KLANG, 19 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor komited mengawal jumlah pekerja asing sedia ada di dalam negara selepas kerajaan memutuskan untuk menghentikan kemasukan golongan itu sejak Mei lepas.
Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata pihaknya kini menumpukan kepada aspek pemantauan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan oleh pekerja asing.
"Setakat ini, saya difahamkan tiada kemasukan baharu, jumlah sedia ada sudah cukup ramai. Oleh itu, JIM, khususnya di Selangor akan melaksanakan elemen mengawal jumlah mereka yang sudah ada di dalam negara menerusi pelbagai operasi berdasarkan risikan dan maklumat daripada orang awam.
"Pemeriksaan yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan kebanyakan daripada mereka mempunyai kemasukan yang sah dan tertangkap apabila melakukan pelanggaran peraturan seperti permit kerja," katanya pada sidang media selepas selesai Op Mahir di kawasan Meru, di sini hari ini.
Khairrul Aminus berkata JIM Selangor terbuka menyalurkan maklumat kepada mana-mana agensi berkaitan termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhubung dengan penempatan atau asrama pekerja asing dan pihak kedutaan bagi mendapatkan pengesahan pasport.
Terdahulu, Khairrul Aminus turun padang menyertai 17 pegawai dan anggota JIM Selangor melakukan serbuan di sebuah kilang aluminium membuat bingkai cermin di kawasan perindustrian di Meru dan menahan 43 warga asing atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati 32 daripadanya memiliki kad perakam waktu, yang membuktikan mereka diambil bekerja secara tetap di premis berkenaan.
Khairrul Aminus berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah melanggar syarat pas kerja di bawah Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen serta tidak memiliki dokumen sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Beliau berkata terdapat warga asing yang memiliki pasport kosong tanpa sebarang cap kemasukan atau pas kerja dan memiliki pas kerja sektor binaan, tetapi bekerja di kilang berkenaan.
"Ada juga yang menggunakan pasport baharu selepas pasport lama tamat, tetapi tiada rekod kemasukan ke negara ini dan kesahihan pasport itu akan dirujuk kepada kedutaan masing-masing bagi pengesahan lanjut," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial