JASIN, 16 Ogos (Bernama) -- Impian G. Kishendran, 23, untuk membawa ibu bapanya naik ke pentas konvokesyen akhirnya tercapai, selepas beliau mengekalkan pencapaian 4.00 Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) untuk enam semester berturut-turut di Politeknik Merlimau, Melaka (PMM).
Graduan Diploma Akauntansi itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau yang berlangsung hari ini, hasil usaha gigih dan disiplin tinggi sepanjang tiga tahun pengajian di PMM.
Hasrat itu dipendam sejak lima tahun lepas, apabila memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun tidak kesampaian berikutan pandemik COVID-19 melanda ketika itu, sekali gus menjadi pembakar semangat anak pemandu lori dan peniaga katering itu untuk terus berusaha sepanjang pengajian.
“Rasa amat gembira dan bersyukur kerana kejayaan ini, hasil doa serta pengorbanan ibu bapa yang bekerja keras menampung perbelanjaan keluarga untuk memastikan kami mendapat pendidikan secukupnya.
“Saya pernah rasa rendah diri dan hampir berputus asa, tetapi sokongan ibu bapa, pensyarah serta rakan-rakan menjadi kekuatan untuk bangkit semula dan kejayaan ini saya hadiahkan buat mereka semua,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Kishendran menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail pada Istiadat Konvokesyen ke-23 PMM.
Anak ketiga daripada enam beradik yang berasal dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu berkata dia mempunyai minat mendalam terhadap bidang perakaunan sejak di tingkatan empat lagi.
Kishendran berkata rutin hariannya akan bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan tugasan, selain perlu bijak membahagikan masa kerana aktif menyertai pelbagai program di politeknik untuk memastikan dirinya dapat mengekalkan prestasi cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.
Beliau turut memperoleh markah Merit KITA keseluruhan 88.75 peratus, iaitu sistem penilaian menyeluruh Politeknik Malaysia yang mengambil kira akademik, kepimpinan, kokurikulum dan sahsiah pelajar.
Kini berkhidmat sebagai Eksekutif Pentadbiran dan Akaun di sebuah syarikat swasta, Kishendran sedang menunggu keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM) atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, G.Amartham, 48, dan bapanya M.Gunasegaran, 50, selain kepada semua pensyarah serta rakan-rakan yang sentiasa menyokong sepanjang pengajian di PMM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial