AM

Jelajah HAWANA 2025 Pupuk Mahasiswa Jadi Warganet Bertanggungjawab

14/08/2025 03:02 PM

SHAH ALAM, 14 Ogos (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik diharapkan dapat memupuk sifat dan teladan baik mahasiswa menjadi warganet yang bertanggungjawab khususnya ketika menggunakan media sosial.

Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Zainah Rujihan berkata penganjuran siri jelajah itu bertepatan dengan masa serta mampu memberi pendedahan kepada semua pihak dalam menjaga etika mengguna Internet dan media sosial.

“Kita sebagai ahli masyarakat dalam dunia digital masa kini dan orang awam tanpa mengira latar belakang dan usia pekerjaan wajar menjadi pengguna media digital yang beretika dan terpimpin. 

“Sepanjang hari ini, insya-Allah pelajar kita semua akan mengikuti program dirangka oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) supaya menjadi warganet lebih beretika, terutamanya dalam mengendalikan media sosial dan berkongsi maklumat,” katanya dalam ucapan aluan sempena Program Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik di PSA di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Mazlan Abd Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2025 dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025.  

Majlis itu turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz, Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali, Ketua Bernama Radio Azlan Idris, dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman serta Pengarah PSA Zainah Rujihan.  

Zainah berkata pihaknya memerlukan sokongan padu pihak media untuk terus menguar-uarkan pelbagai inisiatif, kejayaan dan peluang yang ditawarkan oleh politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) di seluruh negara.

Beliau berkata sebagai penyedia bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbesar di Malaysia, POLYCC komited menyediakan program berkualiti yang relevan dengan keperluan industri, sekali gus membekalkan tenaga kerja mahir, berpengetahuan dan berdaya saing untuk memenuhi agenda pembangunan negara.

“Oleh itu, sokongan media yang berterusan akan membantu memastikan mesej ini sampai kepada seluruh lapisan masyarakat, lantas memperkukuh peranan POLYCC sebagai peneraju TVET negara.

“Saya juga mengalu-alukan jalinan kolaborasi pintar, khususnya antara pihak media dan PSA, bagi memperkukuh penyebaran maklumat dan mengetengahkan kejayaan PSA serta POLYCC. Sokongan padu ini bukan sahaja membantu memartabatkan TVET, malah memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pelajar semester kelima Kejuteraan Mekanikal PSA Muslihuddin Farihin Mustapha, 20, berkata menerusi program berkenaan banyak ditekankan mengenai cara untuk mengenal pasti sesuatu maklumat dan berita sahih dengan mengguna platform MyCheck.My.

“Jadi dengan cara ini kita tahu mana maklumat yang sahih dan saya berharap pelajar politeknik hari ini dapat belajar sesuatu yang baru, di samping menjadi lebih peka terhadap isu semasa,” katanya ketika ditemui pemberita.

Bagi penuntut Diploma Pemasaran PSA, V. Keertna Pilaay, 22, berkata beliau menimba ilmu baharu khususnya membabit teknik mengambil gambar dan video dalam menghasilkan sebuah video yang bermutu.

“Teknik dan ilmu itu membantu saya untuk melangkah ke hadapan dalam pemasaran bagi menghasilkan video memandang saya kini pada semester akhir,” katanya.  

Program Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik kesinambungan daripada kejayaan program edisi 2024 yang melibatkan 16 universiti awam di enam zon utama di seluruh negara. 

Edisi kali ini memperluas capaian dengan penglibatan institusi politeknik, sejajar dengan usaha mendemokrasikan akses terhadap ilmu komunikasi dan kesedaran media dalam kalangan pelajar pelbagai latar akademik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan