AM

FSJA, KDJA Sokong Cadangan Wujudkan Kelab Media

15/08/2025 04:18 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) menyuarakan sokongan penuh terhadap cadangan mewujudkan kelab media dan menyifatkan ia sebagai ‘anjakan perubahan’ bagi komuniti media negeri ini. 

Presiden FSJA dan KDJA Ronnie Teo Teck Wei berkata situasi kerja pengamal media di Sarawak menuntut banyak pergerakan dan sangat fleksibel, kerap melibatkan pelbagai tugasan di lokasi berbeza dalam satu hari. 

“Dalam sela masa antara tugasan ini antara cabarannya ialah logistik yang perlu ditanggung sendiri. Mempunyai sebuah tempat khusus untuk pengamal media amat diperlukan untuk memudahkan kami berkerja dengan lebih cekap,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata ruang yang dilengkapi dengan kemudahan seperti capaian Internet, bekalan elektrik dan sumber lain akan membolehkan wartawan menyiapkan berita, gambar, video dan melakukan kerja penyuntingan secara terus, bagi memastikan laporan dapat dihantar tepat pada masa. 

Teo turut menegaskan perlunya ruang rehat dan memulihkan tenaga untuk kesejahteraan wartawan yang sering berdepan dengan tuntutan kerja yang panjang dan mencabar. 

Beliau berkata KDJA dan FSJA juga berharap dapat bekerjasama rapat dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan kerajaan negeri berhubung cadangan tersebut, selain mencadangkan kemudahan sama diwujudkan di Sibu dan Miri bagi memenuhi keperluan wartawan di sana.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Maklumat dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata UKAS akan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan kelab media di sini sebagai tempat untuk pertemuan, perkongsian idea dan berehat bagi wartawan serta pengamal media di negeri ini.

Abdullah berkata idea tersebut timbul hasil perbualannya dengan beberapa wakil media mengenai perlunya tempat untuk mereka berehat dan berinteraksi di luar waktu tugasan rasmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan