KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sedang berusaha memastikan dua pemain berpengalaman, apit kanan Hafizul Hayazi dan apit kiri Zuleffendi Sumari, kekal dalam skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata perbincangan bersama jurulatih telah diadakan bagi memastikan kedua-dua pemain tersebut dibawa sekali dalam usaha memperkuatkan cabaran negara di temasya dwitahunan itu.
“Saya sedang berusaha untuk John (Hafizul) dan Pak Long (Zuleffendi). Kami telah berbincang dengan jurulatih supaya mereka dapat diserap dalam skuad kebangsaan. Dua pemain ini amat diperlukan kerana pengalaman mereka sangat berharga.
“Sebenarnya, mereka pernah menjadi sebahagian daripada skuad sebelum ini, tetapi terdapat isu yang menyebabkan mereka terpaksa diketepikan,” katanya selepas Mesyuarat Pemilihan Sukan SEA Thailand di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini hari ini.
Mohd Sumali memaklumkan bahawa masalah utama berkaitan pelepasan daripada majikan masing-masing disebabkan tempoh cuti panjang yang diperlukan untuk menyertai latihan pusat.
“John mempunyai isu dengan majikannya dan Pak Long juga menghadapi perkara yang sama. Saya akan berusaha berjumpa dengan pihak majikan dalam masa terdekat bagi merayu pelepasan mereka supaya dapat menyertai latihan dan mewakili negara,” katanya.
Hafizul dan Zuleffendi sebelum ini terpaksa diketepikan daripada skuad negara kerana tidak mendapat pelepasan majikan. Namun, kedua-dua pemain kini menunjukkan prestasi cemerlang bersama tekong, Haziq Hairul Nizam, apabila membantu Negeri Sembilan Antlers menjuarai Grand Prix Negeri Sembilan dan Johor dalam saingan Liga Sepaktakraw (STL).
Mengenai sasaran Sukan SEA Thailand 2025, Datuk Mohd Sumali berkata PSM menetapkan sasaran realistik dengan mengincar dua pingat emas menerusi acara regu lelaki dan kuadran lelaki serta dua pingat perak dalam kuadran campuran dan regu berpasukan lelaki.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial