KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Malaysia mengulangi komitmen untuk menerajui usaha ASEAN dalam pertumbuhan bandar yang inklusif dan mampan, sambil menyeru kerjasama lebih kukuh antara bandar serta perpaduan serantau yang lebih mendalam untuk menangani cabaran perumahan, infrastruktur dan pengurusan sisa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menggalas dua peranan penting, iaitu sebagai penyelaras serantau dan pendokong global dalam pembangunan bandar mampan.
“Fokus kita adalah untuk memudahkan pertukaran dasar dan kerjasama antara bandar, mempromosikan tadbir urus bandar yang inklusif selaras dengan semangat ASEAN ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’, serta mengintegrasikan rangka kerja global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Agenda Perbandaran Baharu dan inisiatif Bandar Pintar ASEAN ke dalam dasar tempatan,” katanya.
Nga yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) menyampaikan ucaptama sempena Majlis Perasmian Forum Perbandaran Mampan ASEAN (ASUF) 2025, Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat Nararya Sanggramawijaya Soeprapto.
Nga berkata Malaysia berhasrat menyediakan platform kepada datuk bandar dan gabenor untuk menyuarakan kebimbangan setempat, merangka penyelesaian bersama dan memperkukuh perpaduan serantau dari peringkat akar umbi.
Beliau berkata kemajuan lestari memerlukan kerjasama merentas semua peringkat tadbir urus, melibatkan kerjasama antara pihak berkuasa nasional, tempatan dan serantau bersama sektor swasta, masyarakat sivil serta rakyat.
Nga berkata pendekatan ini, yang berteraskan prinsip Perkongsian Awam-Swasta-Rakyat menjadi teras kepada Pelan Strategik UN-Habitat 2026-2029 dan Visi ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama.
“Dalam era ketidaktentuan global ini, kita bukan sahaja perlu menyetempatkan ASEAN bagi tindakan akar umbi yang berkesan, malah juga mengglobalisasikan ASEAN bagi menjalin kerjasama dinamik di luar rantau, demi memperkukuh daya tahan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Nga berkata anggota ASEAN diseru untuk “melangkah bersama” ke arah masa depan yang lebih baik, sambil menekankan keperluan untuk menterjemah idea kepada tindakan, dasar kepada kemajuan dan impian bersama kepada realiti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial