KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB) akan mengembang dan membangunkan kapasiti penyimpanan kira-kira 272,000 meter padu, melibatkan pelaburan sebanyak US$330 juta (RM1.4 bilion) termasuk kos yang berkaitan dengan perkongsian fasiliti di terminal itu.
Dialog Group Bhd melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu bahawa syarikat usaha sama tidak langsungnya, yang dimiliki sebanyak 25 peratus, PT2SB telah menandatangani perjanjian penggunaan terminal dengan Pengerang Biorefinery Sdn Bhd (PBSB) untuk menyediakan fasiliti penyimpanan dan pengendalian ke atas produk serta stok suapan PBSB.
"Projek pengembangan ini disokong oleh perjanjian pembelian jangka panjang selama 25 tahun dan akan mendapat manfaat daripada kecekapan kapasiti semasa dan infrastruktur PT2SB," katanya.
"Biorefinery PBSB akan mempunyai keupayaan untuk memproses kira-kira 650,000 tan setahun bahan mentah dalam menghasilkan bahan api penerbangan lestari serta biobahan api lain seperti minyak sayuran diesel hidrogenasi/diesel yang boleh diperbaharui," katanya.
Dialog Group berkata projek itu tidak dijangka memberi kesan kepada modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar serta kesan material terhadap pendapatan untuk tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 Jun 2026.
"Bagaimanapun ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan akan datang Dialog Group," katanya.
Sementara itu, Royal Vopak dalam satu kenyataan berasingan berkata pengembangan itu akan memanfaatkan kecekapan sedia ada dan operasi di terminal tersebut, meningkatkan daya saingnya.
"Jumlah pelaburan sebanyak €282 juta (RM1.38 bilion), yang mana bahagian Vopak adalah €72 juta, akan menyokong pulangan tunai operasi kumpulan apabila ditauliahkan, dijangka pada pertengahan 2028.
"Pelaburan ini sejajar dengan strategi kami untuk mempercepatkan ke arah infrastruktur yang menyokong peralihan tenaga sambil memperkukuhkan kedudukan perindustrian PT2SB," katanya.
PT2SB memiliki dan mengendalikan terminal laut dalam khusus untuk berkhidmat dengan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
Pemegang saham PT2SB merangkumi Dialog Equity (Two) Sdn Bhd (anak syarikat Dialog) (25 peratus), PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd (subsidiari Petronas) (40 peratus), Vopak Terminal Pengerang BV (anak syarikat Royal Vopak) (10 peratus) dan Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd (syarikat milik negeri Johor) (10 per cent).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial