AM

Kerajaan Teliti Undang-Undang Fokus Peranan Ibu Bapa, Cegah Penderaan Kanak-Kanak

02/06/2025 11:22 AM

PUTRAJAYA, 2 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan kewajipan yang lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga dalam usaha mencegah penderaan dan pengantunan kanak-kanak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia termasuk cadangan pindaan yang mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak-anak serta penyertaan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.

“Pendekatan ini selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama dalam melindungi generasi masa depan daripada ancaman jenayah seksual dalam era digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azalina yang kini dalam siri lawatan ke Uzbekistan untuk menghadiri Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025 turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama bertajuk Creating a Safer Digital Future: Malaysia’s Legislative Approach to Online Child Protection pada hari pertama forum.

Menerusi ucaptama itu, Azalina menyeru komuniti perundangan antarabangsa untuk memikul tanggungjawab moral bersama dalam memastikan pihak yang terlibat dalam jenayah terhadap kanak-kanak dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.

Azalina juga berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Menteri Keadilan Uzbekistan Akbar Tashkulov, dengan pertemuan itu membuahkan hasil bermakna apabila kedua-dua pihak bersetuju menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) baharu pada 30 Mei.

“MoU ini akan berkuat kuasa selama tiga tahun dan meliputi aspek penting seperti pertukaran kepakaran perundangan, kerjasama dalam pembaharuan institusi keadilan dan pengukuhan kapasiti sistem kehakiman kedua-dua negara. Langkah ini amat bererti dalam menyokong usaha ke arah sistem perundangan yang lebih responsif dan dinamik,” kata Azalina.

Turut berlangsung pertemuan dua hala antara Azalina dengan Menteri Keadilan dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Kabinet Qatar, Ibrahim Ali Issa Al Hassan Al Mohannadi, yang membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara Malaysia dan Qatar dalam pelbagai aspek reformasi undang-undang termasuk amalan terbaik global dalam perlindungan hak asasi manusia dan tadbir urus keadilan.

“Saya percaya hubungan dua hala seperti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik, malah memperluas horizon reformasi institusi negara ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Azalina turut menerima kunjungan hormat daripada Ketua Bahagian dan Kaunselor Kanan, Direktorat Tadbir Urus Awam, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) Dr Tatyana Teplova.

Pertemuan berkenaan menandakan permulaan kepada kerjasama strategik antara Malaysia dan OECD, khususnya dalam aspek pengukuhan sistem keadilan, menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertingkatkan tadbir urus digital negara.

“Saya juga menyatakan hasrat agar Malaysia memperoleh sokongan kepakaran OECD dalam melaksanakan harmonisasi undang-undang dengan standard antarabangsa, tanpa mengetepikan realiti tempatan dan aspirasi kerajaan MADANI terhadap reformasi institusi yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan