AM

Kawal Selia Media Sosial: Fahmi Sedia Adakan Perbincangan Lanjut Bersama Azalina

03/06/2025 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau sedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said untuk memperkukuh kawal selia platform media sosial di negara ini.

Fahmi berkata pertemuan itu penting susulan cadangan Azalina semalam untuk meminda undang-undang sedia ada termasuk mewajibkan ibu bapa dan penjaga memantau tingkah laku dalam talian anak-anak serta menyertai program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.

Beliau berkata langkah ini akan mengambil kira pengalaman dan pendekatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi dalam menangani pelbagai isu berkaitan platform digital dan media sosial di Malaysia.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Azalina untuk melihat cara-cara berdasarkan pengalaman MCMC dan Kementerian Komunikasi berdepan dengan platform-platform media sosial, apa yang boleh kita lakukan,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan perasmian Motorhome-Bernama Mobile Studio di Wisma Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang agensi berita itu Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 serta pengurusan tertinggi Bernama.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 yang bakal dikuat kuasa tidak lama lagi akan memberi kuasa kepada MCMC untuk mengenakan tindakan ke atas platform media sosial yang ingkar terhadap tanggungjawab mereka.

“Jadi kita akan lihat apakah cara yang terbaik untuk membantu Menteri Undang-Undang dalam pelaksanaan dan penggubalan akta yang beliau maksudkan itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan