AM

Korea Selatan Sedia Perluas Kerjasama Bidang Pembangunan Dengan Malaysia - Nanta

29/05/2025 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Korea Selatan menzahirkan keterbukaan untuk terus memperluaskan ruang kerjasama dua hala bersama Malaysia, khususnya dalam bidang pembangunan jalan raya, teknologi pembinaan dan sistem pengangkutan pintar.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan Park Sang-Woo bersempena penyertaan Malaysia pada Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025 di negara berkenaan.

Beliau berkata pertemuan susulan daripada mesyuarat dua hala di ibu negara pada November lepas itu turut menyentuh mengenai kemajuan rundingan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang berkenaan, dengan perbincangan kali pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 16 April.

“Adalah menjadi harapan kedua-dua pihak agar MoU ini dapat dimuktamadkan dan ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

“Saya percaya kerjasama strategik ini akan membuka peluang yang luas dalam aspek pemindahan teknologi, peningkatan keupayaan dan pembangunan infrastruktur yang lebih cekap, selamat dan mampan di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nanta berkata usaha berkenaan selari dengan Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 yang memberi tumpuan kepada mobiliti masa hadapan pintar, inklusif dan berdaya tahan.

Menerusi hantaran sama, Nanta turut berkongsi mengenai kejayaan penganjuran Seminar Kerjasama Teknologi Jalan dan Pembinaan yang melibatkan penyertaan lebih 130 peserta termasuk agensi kerajaan dan pihak industri dari Malaysia dan Korea Selatan.

Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai gambaran komitmen bersama terhadap inovasi dan pembangunan infrastruktur yang berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-Bae, serta seluruh warga Kedutaan Korea Selatan di Malaysia atas sokongan padu dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerjasama yang sedang dirintis.

“Malaysia amat menghargai hubungan erat dengan Korea Selatan dan akan terus komited dalam menjalin kerjasama yang membawa manfaat bersama untuk rakyat dan negara kedua-dua pihak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan