KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Malaysia memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan jalan raya bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan serta keberkesanan penyelenggaraan kemudahan itu dan infrastruktur.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerosakan jalan raya dalam masa nyata mampu dikesan melalui penggunaan teknologi pemantauan pintar seperti dron, sensor dan Internet Benda (IoT).
“AI pula membantu kita menganalisis data tersebut untuk menentukan lokasi yang memerlukan perhatian segera serta menjangka potensi kerosakan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan bertajuk 'Malaysia’s Future-Ready, Hyper-Connected Cities: Policies, Progress and the Path Ahead' pada Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025 di Suwon, Korea Selatan hari ini.
Nanta turut berkongsi hala tuju strategik kementeriannya menerusi penyediaan Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030, yang digerakkan dengan visi membina mobiliti negara yang lebih selamat dan mampan.
“ITS kini satu keperluan asas dalam membina bandar masa depan yang berdaya tahan, cekap dan mampan. Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 yang sedang dirangka ini akan menjadi panduan utama kita dalam mentransformasikan landskap ITS negara,” katanya.
Beliau berkata terdapat lima teras utama kepada pelaksanaan pelan berkenaan iaitu pengangkutan hiperhubung melalui mobiliti pintar tanpa gangguan, laluan ke arah mobiliti hijau dan lestari, perkhidmatan awam diperkukuh melalui pendigitalan pengangkutan, ekosistem pengangkutan yang selamat dan terjamin serta pemanfaatan data untuk perancangan mobiliti dan pengangkutan.
“Semua perancangan ini akan diterjemahkan kepada tindakan. Malaysia akan terus berinovasi, melabur dan bekerjasama untuk membina sebuah negara yang hiperhubung,” katanya.
Nanta berkata banyak revolusi yang menarik sedang berlaku dalam landskap ITS di Malaysia termasuk kemajuan kenderaan autonomi (AV), penggunaan kenderaan elektrik dalam sistem pengangkutan awam, pengenalan sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) dan penubuhan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Kebangsaan (NITMC).
“Inisiatif transformasi ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia untuk membina ekosistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan lestari, selaras dengan visi lebih besar kita ke arah bandar hiperhubung,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial