AM

Peniaga Sibu Disaran Sertai Program Kedai MyKasih

11/08/2025 05:25 PM

SIBU, 11 Ogos (Bernama) -- Peniaga pasar raya kecil dan kedai runcit di daerah ini disaran mendaftar sebagai rakan niaga Kedai MyKasih bagi memperluas pasaran dan meningkatkan pendapatan.

Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew berkata penyertaan itu membolehkan isi rumah berpendapatan rendah yang layak menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membeli barangan keperluan terpilih menggunakan MyKad.

“Peniaga yang menjual sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 14 kategori barangan keperluan boleh memohon menjadi rakan niaga Kedai MyKasih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Antara kategori barangan itu termasuk beras putih, minuman, roti, telur, perasa, barangan tandas, ubat-ubatan, mi segera, biskut, tepung, alat tulis, makanan dalam tin, minyak masak dan bahan pembersih rumah.

Ling berkata pusat khidmatnya baru-baru ini membuka kaunter bergerak di pusat bandar bagi membantu peniaga tempatan mendaftar, namun jumlah pendaftaran masih belum mencapai sasaran.

Katanya peniaga yang berminat boleh berbuat demikian di Ibu Pejabat DAP Sibu dan pihaknya akan membantu menghantar permohonan kepada Kementerian Kewangan.

“Peniaga berdaftar akan menerima set sistem Point-of-Sale (POS) dan pengimbas kod bar yang dibekalkan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan