KUCHING, 10 Ogos (Bernama) -- Tiga pemimpin belia daripada Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) akan membentangkan projek berimpak tinggi negeri itu di Perhimpunan Belia Forum Perbandaran Mampan ASEAN (ASUF) 2025 yang berlangsung hari ini hingga 15 Ogos di Kuala Lumpur.
AZAM Sarawak memaklumkan tiga wakil daripada sayap Azam Young Souls (AYS) terdiri daripada Presiden AYS Theron Then Kai Yuan, Setiausaha Muhammad Shahrizan dan Ahli Exco Micheal Larry, akan membentangkan topik berkaitan pemuliharaan alam sekitar, inovasi digital dan model tadbir urus belia yang terangkum.
“AZAM Sarawak terus memperkukuh peranannya dalam pemerkasaan belia dan komunikasi secara penyertaan melalui pelantikan sebagai rakan strategik di forum berprestij itu,” menurut AZAM Sarawak dalam kenyataan hari ini.
Forum berkenaan dianjurkan URBANICE Malaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menurut AZAM Sarawak, penyertaan berkenaan mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen berterusan organisasi itu dalam usaha pemerkasaan belia dan pembangunan mampan di rantau ASEAN.
“Menerusi platform berkenaan, AZAM akan menyuarakan hasrat dan aspirasi belia Sarawak di peringkat serantau, memperkukuh misi kami menghubungkan impak tempatan dengan perubahan global,” menurut kenyataan itu.
Pengurus Komunikasi Strategik AZAM Sarawak Mohd Hassnal Hakim yang mengetuai delegasi itu berkata kerjasama berkenaan penting bagi mempertingkatkan peranan Sarawak dalam dialog berkaitan kelestarian di peringkat ASEAN.
“Dengan berkongsikan inisiatif akar umbi AZAM daripada perniagaan hijau hingga pemerkasaan digital, kami ingin membuktikan belia bukan sekadar pemimpin masa depan, tetapi juga pemacu penyelesaian pada masa ini,” katanya dalam kenyataan sama.
Menurut AZAM Sarawak, peranannya sebagai rakan strategik semakin mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak dalam usaha pembangunan mampan di peringkat serantau.
“Ia menjadikan AYS sebagai penanda aras bagi inovasi yang dipimpin belia, memberi inspirasi kepada dasar serantau dan mengukuhkan peranan Sarawak sebagai model progresif dalam pembandaran mampan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial