AM

NADI Pulau Banggi Pemacu Pembangunan Digital Luar Bandar Sabah

10/08/2025 09:00 PM

KUDAT, 10 Ogos (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pulau Banggi mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi digital di kawasan luar bandar Sabah, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata inisiatif itu menyediakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi, yang akan membantu mengurangkan penghijrahan penduduk tempatan ke bandar-bandar besar dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

“NADI memainkan peranan penting dalam usaha kita membawa Sabah ke era digital dengan menyediakan capaian Internet, latihan kemahiran digital dan akses maklumat kepada komuniti luar bandar yang selama ini ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat NADI Pulau Banggi yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat dan hanya boleh diakses menggunakan feri atau bot laju.

Pulau berkenaan menempatkan kira-kira 20,000 penduduk dengan sumber ekonomi utama berasaskan perikanan, kelapa sawit dan getah.

Fahmi berkata teknologi Starlink yang digunakan di NADI Pulau Banggi, menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi mencecah 100 Mbps, sekali gus membuka peluang baharu kepada penduduk tempatan dalam bidang ekonomi digital.

“Dengan adanya kemudahan ini, anak-anak muda di Pulau Banggi tidak perlu lagi berhijrah ke Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur, kerana mereka boleh menggunakan kepakaran digital untuk menjana pendapatan di sini,” katanya.

Fahmi berakata inisiatif NADI Pulau Banggi yang merupakan sebahagian daripada Projek Inklusif Digital NADI Malaysia telah dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori Capacity Building.

“Pengiktirafan antarabangsa ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pendigitalan negara, sejajar dengan dasar Sabah Maju Jaya,” katanya.

Dalam lawatan itu, Fahmi turut mengumumkan beberapa siri lawatan susulan ke Pulau Banggi untuk meneliti aspek pembangunan lain, bagi memastikan kemajuan digital di kawasan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan