TUARAN, 10 Ogos (Bernama) -- Pemeliharaan warisan budaya pelbagai etnik di Sabah menjadi keutamaan kerajaan negeri yang komited untuk mempromosi dan memartabatkan khazanah budaya tempatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata penganjuran Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Samah selama empat hari yang berakhir hari ini berupaya mengangkat warisan budaya negeri ke tahap lebih tinggi sekali gus menaikkan imej Sabah di persada dunia.
“Dengan 35 kumpulan etnik dan 217 subetnik dalam komuniti Sabah, masyarakat kita rencam dan benar-benar majmuk dalam konteks Malaysia. Pun begitu, rakyat Sabah kekal hidup harmoni dengan semangat perpaduan tinggi selari dengan slogan ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’.
“Festival ini dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan budaya suku kaum Bajau Samah. Walaupun kita meraikan budaya Bajau Samah, kepelbagaian etnik lain turut menjadi asas keharmonian negeri ini dan akan terus dipelihara sampai bila-bila,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik di sini hari ini.
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman merasmikan festival selama empat hari yang berakhir hari ini dan turut hadir isterinya Toh Puan Faridah Tussin, serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Hajiji berkata komitmen memelihara budaya selaras dengan hala tuju kerajaan negeri memandangkan Sabah merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai suku kaum dan tradisi.
Menurut beliau, festival tersebut turut mengukuhkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat, tanpa mengira bangsa dan agama, selain menjadi platform untuk mencungkil serta memelihara bakat baharu dalam bidang kesenian dan kebudayaan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Tun Musa atas sokongan terhadap penubuhan Persatuan Rumpun Bajau Samah 12 tahun lalu dan pembangunan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik bermula pada 2017 ketika beliau menjadi Ketua Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial