AM

Penyediaan Kerangka Strategik Dan Pelan Tindakan Penjagaan Kini Di Fasa Akhir - Nancy

07/08/2025 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan 2026-2030 yang sedang dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini berada pada fasa akhir penyediaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelbagai sesi libat urus telah dilaksanakan bagi memastikan pelan itu menepati keperluan semasa dan jangka panjang negara termasuk Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 yang sedang digubal kerajaan.

“Antara fokus yang akan dimainkan KPWKM dalam hal ini adalah penyediaan ekosistem perkhidmatan penjagaan jangka panjang (LTC) yang cekap dan mampan.

“Pada masa yang sama, KPWKM merancang untuk melancarkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026-2030 yang antaranya turut meliputi aspek keselamatan dan perlindungan, pembelajaran sepanjang hayat serta penglibatan dan kesepaduan antara generasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta kementerian menyatakan jumlah pekerja tidak formal dalam sektor ekonomi penjagaan yang telah didaftarkan serta dasar dan persediaan kementerian dalam menghadapi masyarakat yang semakin menua.

Mengenai jumlah pekerja tidak formal dalam sektor ekonomi penjagaan, Nancy berkata setakat ini belum ada pengumpulan data rasmi melibatkan perkhidmatan penjagaan bagi penjaga formal mahupun tidak formal di negara ini. 

Beliau berkata bagaimanapun pengumpulan data perkhidmatan penjagaan akan menjadi antara komponen teras dalam Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026-2030.

“Sebagai rekod, KPWKM setakat ini merekodkan 6,744 individu yang telah memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam Bidang Penjagaan dan Perkhidmatan Komuniti manakala 43,869 orang lagi memiliki kemahiran profesional dalam pengasuhan kanak-kanak.

“Mereka ini memiliki kemahiran dan kelayakan untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan secara formal,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata data rasmi KPWKM yang boleh digunakan untuk merujuk kepada individu yang memberikan penjagaan tidak formal adalah data penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kerajaan menerusi JKM menyediakan bantuan kebajikan bulanan bagi meringankan beban individu yang menjaga ahli keluarga mereka yang terlantar dan uzur menerusi Bantuan Pesakit Kronik Terlantar. Setakat April 2025, kerajaan telah menyalurkan RM59.6 juta kepada 31,138 penerima bantuan ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan