AM

Lebih 500,000 Kandungan Dalam Talian Langgar Undang-undang Diturunkan Dalam Tempoh Tiga Tahun 

07/08/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Lebih 500,000 kandungan dalam talian diturunkan oleh penyedia perkhidmatan bagi tempoh 1 Jan 2022 sehingga 1 Ogos 2025 kerana melanggar undang-undang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kandungan tersebut merangkumi 321,012 kes berkaitan perjudian, 119,273 kandungan penipuan, 43,585 kandungan jelik, 35,420 kes buli atau gangguan seksual, serta 38,818 kandungan palsu.

Beliau menjelaskan, tindakan menurunkan kandungan itu dilakukan atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana kandungan tersebut melanggar peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), undang-undang lain, serta garis panduan komuniti penyedia platform.

Teo berkata MCMC sentiasa meningkatkan kecekapan pemantauan kandungan berbahaya dalam talian dengan menjalinkan kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Bank Negara Malaysia (BNM).

“Penglibatan MCMC merangkumi bantuan teknikal, termasuk pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi memudahkan siasatan pihak berkuasa.

“Kementerian Komunikasi melalui MCMC komited memastikan persekitaran dalam talian yang selamat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) berhubung langkah kementerian untuk meningkatkan kecekapan pemantauan kandungan berbahaya dalam talian, termasuk perjudian dalam talian, penipuan siber, buli siber dan penyebaran berita palsu.

Mengulas lanjut, Teo berkata MCMC juga telah membangunkan Portal Sebenarnya.my sebagai platform semakan fakta, malah pada 28 Jan 2025, suruhanjaya itu melancarkan Chatbot Sebenarnya.my atau Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA).

Katanya, inisiatif itu bertujuan membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih dengan mudah, mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih serta memperkukuh fungsi Sebenarnya.my dalam menangani penyebaran maklumat palsu.

Selain itu, MCMC juga melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588 bermula 1 Jan 2025.

“Langkah ini memastikan setiap penyedia perkhidmatan memikul tanggungjawab statutori dalam menguruskan operasi mereka dengan lebih baik di Malaysia termasuk menangani secara efektif kandungan mudarat, terutamanya kanak-kanak. 

“MCMC juga menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial yang menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan,” katanya.

Beliau berkata MCMC juga telah melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) pada 21 Jan lepas yang menumpukan kepada keselamatan dalam talian termasuk had umur pengguna media sosial, buli siber dan pencegahan akses kepada kandungan tidak sesuai. 

Pada masa sama, Teo berkata penyedia platform juga harus memikul tanggungjawab memastikan tiada kandungan yang berunsur penipuan atau buli siber disebarkan di platform mereka dan sekiranya ada, kandungan tersebut harus diturunkan secepat mungkin.

“Ketika ini, banyak kandungan atau hantaran berunsur penipuan hanya akan diturunkan selepas MCMC membuat laporan dan menghantar permohonan rasmi kepada pihak platform.

“Disebabkan tiada garis panduan ketat terhadap pengiklan, kita tidak nampak sebarang pengurangan terhadap kandungan penipuan ini, malah ia semakin meningkat setiap tahun,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan