JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Buru Lelaki Bertindak Agresif, Lari Sekatan Jalan Raya

16/04/2025 09:18 PM

JOHOR BAHRU, 16 April (Bernama) -- Polis sedang memburu seorang lelaki kerana bertindak agresif dan memiliki senjata berbahaya ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden membabitkan lelaki tempatan berusia 27 tahun itu. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 malam ketika dua anggota dari Balai Polis BSI sedang bertugas di Point Duty 8A laluan bas menahan kenderaan pacuan empat roda Toyota Triton, yang didapati menggunakan laluan tidak dibenarkan. 

“Ketika pemeriksaan dijalankan, lelaki itu tiba-tiba memecut dan melarikan diri secara berbahaya sejauh tujuh kilometer (km) sebelum meninggalkan kenderaannya di tepi jalan dan melarikan diri ke kawasan semak.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditinggalkan, pihak polis menemukan satu batang kayu golf dan sebilah pisau berukuran 18 sentimeter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata semakan awal mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah, serta didaftarkan sebagai orang yang dikehendaki dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. 

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kewujudan atau lokasi suspek diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Radhiah Ahmad di talian 013-566 5710 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah JBS di 07-218 2323," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan