AM

Dua Maut Dalam Kemalangan Berasingan Libat Jentera Berat Di Kuala Krai

31/05/2025 09:59 PM

KUALA KRAI, 31 Mei (Bernama) -- Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan membabitkan jentera berat di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata kejadian pertama kira-kira 2.50 petang melibatkan warga Thailand berusia 49 tahun yang maut selepas jentera backhoe dipandunya terjatuh ke cerun di Ladang Dabong berhampiran Kilometer 27 Jalan Sungai Sam-Dabong. 

"Ini menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum dihempap jentera berkenaan dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal jentera berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata dalam kejadian kedua pada 3.30 petang, seorang lelaki berusia 59 tahun maut selepas sebuah jentolak dipandunya gagal dikawal sehingga terjatuh ke dalam gaung di kawasan Ladang Bonanza Laloh.

"Jentolak yang dipandu mangsa telah tergelincir semasa melakukan kerja membuat teres dan terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 100 meter," katanya.

Mazlan berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan