DUNIA

Pelawat Di Thailand Dikecualikan Sementara Serahan Borang Tm.6 Di Pusat Pemeriksaan Imigresen

09/04/2024 10:32 PM

BANGKOK, 9 April (Bernama) -- Warganegara asing akan dikecualikan daripada mengemukakan Borang TM.6 untuk sementara waktu ketika memasuki atau keluar dari Thailand di pusat pemeriksaan imigresen berkuat kuasa 15 April hingga 15 Okt.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Karom Phonphonklang berkata keputusan itu bertujuan merangsang sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan. 

"Ia bagi memberi kemudahan kepada pelancong sepanjang tempoh ini. Ia bertujuan merangsang pelancongan dan ekonomi serta mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan imigresen," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Luar telah merangka pengumuman Kementerian Dalam Negeri untuk membenarkan kategori warga asing tertentu memasuki Thailand sebagai kes khas tanpa perlu mengemukakan Borang TM.6 dalam tempoh tersebut.

Borang TM.6 adalah dokumen yang digunakan untuk mengumpul maklumat mengenai pelawat asing untuk tujuan pemeriksaan dan pemantauan, yang bertujuan untuk mengekalkan keselamatan negara. 

Justeru, Karom berkata agensi keselamatan berkaitan di Thailand akan bertanggungjawab memantau dan menilai kesan pengumuman itu selepas tempoh enam bulan.

"Sekiranya terdapat sebarang kesan terhadap keselamatan dan manfaat negara, agensi-agensi ini boleh mencadangkan pembatalannya kepada Kabinet," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan