KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memperluaskan jalinan kerjasama antarabangsa bagi mengesan pembayar cukai yang tidak patuh, termasuk individu dan entiti yang memiliki aset atau pendapatan yang dibawa ke luar negara.
Pengarah Jabatan Perisikan dan Profiling HASiL Muhammad Azhari Tamrin@Thamrin berkata pihaknya menggunakan pelbagai kaedah antarabangsa seperti ‘Exchange of Information’ (EOI) dan ‘Common Reporting Standard’ (CRS) untuk memperoleh maklumat kewangan daripada rakan strategik luar negara.
“Cabaran utama kami dalam mengesan pelarian cukai adalah kaedah yang mereka gunakan semakin kompleks dan canggih. Contohnya, mereka memindahkan keuntungan ke luar negara, menggunakan syarikat luar pesisir dan akaun bank antarabangsa. Semua ini sukar dikesan secara konvensional.
“Namun, HASiL mengambil tindakan proaktif dengan meningkatkan kerjasama strategik bersama ‘tax authority’ di luar negara melalui perkongsian maklumat bagi mengenal pasti jejak kewangan mereka yang melarikan diri daripada cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program POV: Perspektif Bukan Persepsi Musim Kelima di Bernama Radio, bersama Kamal Affandi Hashim, bertajuk Lari Bayar Cukai, Bagaimana HASiL Jejak?"
Muhammad Azhari berkata penyertaan HASiL dalam ‘Forum on Tax Administration’ (FTA) dan Jaringan ASEAN membantu kerajaan menyesuaikan amalan terbaik dalam pematuhan cukai serta memperkukuh keupayaan organisasi melalui penggunaan analitik data dan pemprofilan risiko.
“Selain penguatkuasaan, HASiL turut giat menjalankan kempen pendidikan dan kesedaran awam serta melaksanakan pendekatan ‘Compliance Before Enforcement’ untuk menggalakkan pematuhan sukarela dalam kalangan pembayar cukai,” katanya.
Selain itu, beliau berkata era media sosial kini yang menjadi tempat perkongsian gambar dan aktiviti turut menjadi sumber penting untuk HASiL menjejak aktiviti kewangan mencurigakan, terutama mereka yang cuba melarikan diri daripada cukai.
“Melalui media sosial, HASiL melakukan analisis seperti membandingkan gaya hidup dengan pendapatan yang diisytiharkan, mengesan kesan aktiviti perniagaan yang tidak dilaporkan, mengenal pasti aset dan pemilikan yang tidak diisytiharkan serta menganalisis jaringan sosial dan rangkaian perniagaan.
“Maklumat ini akan dipadankan dengan pelaporan yang dibuat dan sekiranya tidak berpadanan serta menunjukkan trend luar biasa, tindakan pematuhan akan diambil sama ada dari segi audit atau siasatan. Ini jelas bukan dibuat secara rawak,” katanya.
Muhammad Azhari berkata masyarakat boleh menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat rahsia mengenai individu atau entiti yang hidup mewah tanpa sumber jelas atau menjalankan perniagaan tidak berdaftar.
“Pelarian cukai bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah mewujudkan ketidakadilan kepada pembayar cukai yang patuh,” katanya sambil menambah maklumat boleh disalurkan melalui Sistem e-Pelarian Cukai di pautan epelariancukai.hasil.gov.my dengan jaminan kerahsiaan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau turut menegaskan pelarian cukai yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga 300 peratus dan sekiranya kes didakwa di mahkamah, denda yang boleh dikenakan adalah sehingga 20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
“Memerangi pelarian cukai bukan tugas kerajaan semata-mata. Ia tanggungjawab bersama demi memastikan hasil negara dikutip secara adil untuk manfaat semua,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan