196 Penagih Ditahan Dalam Operasi Perdana AADK Terengganu

05/06/2026 03:08 PM

DUNGUN, 5 Jun (Bernama) -- Sebanyak 196 penagih dadah termasuk tiga wanita ditahan dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu bermula Rabu lepas hingga hari ini

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Mahadzir Elias berkata operasi berkenaan dilaksanakan di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.

Beliau berkata dua penjawat awam antara yang ditahan dalam operasi yang tertumpu di beberapa tempat penagihan bagi membanteras dan mengambil tindakan terhadap individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Satu daripada lokasi yang diserbu di daerah Dungun dikenali sebagai 'Port Pekat Bayu' yang menjadi tempat transit utama bagi aktiviti jual beli dadah.

"Sebanyak 35 orang yang berada dalam keadaan khayal berjaya ditahan di ‘port’ tersebut," katanya pada sidang media selepas mengetuai Operasi Perdana AADK Terengganu di sini hari ini,

Turut hadir Pengarah AADK Terengganu Arzmi Abdullah.

Mahadzir berkata kesemua penagih dadah yang ditahan dalam operasi tiga hari itu berusia 19  hingga 66 tahun.

Beliau berkata hasil saringan ujian urin mendapati 159 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, ketum (34), ganja (dua) dan heroin (seorang).

Dalam pada itu, beliau berkata lima anggota AADK berdepan detik cemas apabila seorang penagih dadah berusia 34 bertindak agresif dengan mengacukan sebilah pisau ketika melakukan operasi di sebuah rumah di daerah ini hari ini.

“Bagaimanapun, lelaki tersebut yang berada dalam pengaruh dadah berjaya ditahan selepas menyerah diri kira-kira 10 minit kemudian. Tiada kecederaan dilaporkan dan pisau yang digunakan juga berjaya dirampas," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan