KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Seorang pelancong warga New Zealand mengalami kecederaan selepas dilanggar sebuah motosikal di Jalan Chow Kit menghala ke arah Sogo awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira 2.37 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang lelaki tempatan berusia 26 tahun dan seorang pejalan kaki lelaki warga New Zealand berusia 49 tahun.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal luka di tangan dan kaki, manakala pejalan kaki mengalami patah kaki kanan … dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata kedua-dua individu terlibat telah dikenal pasti, dengan mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala penunggang motosikal telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pejalan kaki melintas jalan secara tiba-tiba di lokasi yang bukan laluan lintasan pejalan kaki sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku.
Beliau berkata pihak JSPT Kuala Lumpur telah menjalankan tindakan lanjut termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), melawat lokasi kejadian serta mendapatkan keterangan pihak terlibat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial