| BERITA TERGEMPAR | The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | |
PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Seorang bekas pengajar sekolah memandu mula menjalani hukuman penjara lapan tahun hari ini, selepas Mahkamah Rayuan mengembalikan sabitannya atas kesalahan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada 2021.
Lim Yoke Pin, 75, sebelum ini telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan tersebut.
Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, membenarkan rayuan pihak pendakwaan mengetepikan pembebasan Lim dan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya atas kesalahan itu.
Hayatul Akmal ketika membacakan keputusan berkata mangsa konsisten dalam keterangannya bahawa Lim telah meraba dada dan kemaluan beliau.
Beliau juga berkata tiada keterangan menunjukkan mangsa mempunyai motif untuk menaniaya Lim.
Bagaimanapun, Hayatul Akmal berkata setelah mengambil kira faktor umur Lim, mahkamah mengetepikan hukuman 12 tahun penjara dan tiga sebatan rotan yang dikenakan ke atas Lim oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan lapan tahun penjara.
Beliau memerintahkan Lim menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Pada 9 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Raub mendapati Lim bersalah atas kesalahan melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap remaja perempuan itu di Jalan Desa Damai, Pahang, pada 3 petang 14 Mac 2021. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tiga sebatan rotan ke atasnya.
Mahkamah Tinggi pada 29 Julai tahun lepas, telah melepas dan membebaskan Lim daripada pertuduhan tersebut, sekali gus mendorong pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Pada perbicaraan rayuan di Mahkamah Rayuan, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir berkata Mahkamah Tinggi telah tersilap dari segi fakta dan undang-undang, apabila membebaskan Lim daripada pertuduhan itu.
Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen sebenarnya telah membuat dapatan bahawa keterangan mangsa adalah amat meyakinkan.
Bagaimanapun, peguam Chong Pei Yen yang mewakili Lim, menggesa mahkamah supaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan berkata mangsa tidak membuat laporan polis serta-merta dan hanya membuat laporan kira-kira sejam kemudian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial