KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk melanjutkan tempoh sekatan terhadap PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya Tarek Obaid daripada menggunakan USD340 juta (RM1.61 bilion) yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dana itu merupakan wang dituntut oleh kerajaan, yang didakwa berkaitan dengan skandal 1MDB dan kini disimpan dalam akaun pelanggan Clyde & Co LLP di United Kingdom bagi pihak PetroSaudi Oil Services (Venezuela) (PSOS-VZ).
PSOS-VZ ialah anak syarikat PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL). PSOSL ialah unit PSI, diasaskan bersama oleh Obaid.
Hakim Noor Ruwena Mohd Nurdin memberikan tempoh lanjutan hingga 23 Mac 2026 selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat melalui notis difailkan pada 5 Dis lepas.
"Saya mengambil kira bantahan pihak responden (Obaid) kerana perkara ini telah berlanjutan lama, namun, saya juga mengambil kira kepentingan awam, mahkamah perlu mencari keseimbangan dan memberi sedikit masa supaya pihak pendakwaan dapat menyelesaikan kes mereka.
"Mahkamah memberikan tempoh lanjutan masa selama tiga bulan dari tarikh perintah dibenarkan pada hari ini," katanya.
Pada 11 Dis 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan perintah sekatan itu yang berakhir pada 10 Dis lepas.
Dalam prosiding hari ini, Mahadi dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip dan Nurul Izzati Sapifee manakala Obaid diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, dan Alex Tan mewakili PSI, PSOS-VZ, dan Temple Fiduciary Services Ltd manakala Clyde & Co tidak diwakili.
Pada 2020, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan mendapatkan perintah interim bagi menghalang pihak-pihak daripada memindahkan wang dikaitkan dengan 1MDB dan menyimpannya dalam akaun pihak ketiga berkecuali yang dipegang oleh firma itu.
Perintah interim itu adalah untuk mengekalkan status quo pihak-pihak sehingga pelupusan permohonan larangan kerajaan untuk mendapatkan perintah bagi menghalang sebarang urusan ke atas wang milik PSI dan PSOS-VZ.
Kerajaan Malaysia mendakwa wang berkenaan datang daripada dana 1MDB dalam usaha sama dengan PSI untuk menubuhkan 1MDB PetroSaudi Ltd pada 2010.
Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada Ogos 2024, media antarabangsa melaporkan bahawa Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland mensabitkan Obaid dengan kesalahan berhubung penyelewengan USD1.8 bilion daripada 1MDB dan dia dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial