Bekas Warden Bebas Tuduhan Bunuh Penghuni Pusat Pemulihan Dadah

22/12/2025 06:19 PM

ALOR SETAR, 22 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas warden sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak swasta daripada tuduhan membunuh seorang penghuni pusat itu, empat tahun lepas.

Hakim Evawani Farisyta Mohammad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sidi Ahmad Amin Mamat, 50.

Tertuduh didakwa membunuh Umar Muhajir Ghazali di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Sintok, Changlun dekat sini antara 11 pagi hingga 6.30 petang, 4 Nov 2021 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Evawani Farisyta dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kecederaan dialami mangsa adalah akibat perbuatan tertuduh.

“Ia termasuk kemungkinan mangsa dipukul oleh individu lain di dua hingga tiga tempat berbeza serta penemuan dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) individu tidak dikenali pada kain pelekat si mati,” katanya.

Beliau berkata tertuduh didakwa memukul bahagian dada dan leher mangsa, sedangkan pakar patologi menyatakan punca kematian adalah akibat kecederaan pada aorta abdomen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Shah Reza Noor Azman manakala Sidi Ahmad Amin diwakili peguam Mohd Hezeri Harun dan Mohd Fadhly Yaacob.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan