KUANTAN, 21 Dis (Bernama) -- Seorang peniaga lelaki tempatan kerugian hampir setengah juta ringgit dipercayai akibat penipuan tawaran kerja sambilan yang dipromosikan melalui Facebook, Ogos lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 61 tahun itu telah dihubungi individu menyamar sebagai wakil platform e-dagang sebelum diberikan satu pautan palsu untuk mendaftar sebagai penjual.
Beliau berkata mangsa kemudiannya diarahkan menjalankan aktiviti kerja sambilan dengan memilih beberapa jenis produk yang kononnya boleh dijual ke pasaran Eropah.
“Mangsa dimaklumkan bahawa kos barangan perlu ditanggung terlebih dahulu dan akan menerima komisen keuntungan sebanyak 30 peratus bagi setiap produk yang berjaya dihantar kepada pelanggan.
“Lelaki itu seterusnya telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun suspek bagi tujuan pembelian barangan berjumlah lebih RM505,000 menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan simpanan peribadi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Yahaya berkata pada peringkat awal mangsa menerima keuntungan lebih RM8,303 melalui tiga transaksi, sekali gus meyakinkan lelaki itu untuk membuat pembayaran seterusnya.
Namun, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan secara berterusan kononnya bagi tujuan yuran serta melengkapkan proses pelepasan dana sebelum keuntungan boleh diterima.
“Selepas bayaran dibuat, keuntungan seterusnya gagal diterima selain dana yang dijanjikan tidak dilepaskan dan mangsa akhirnya mengesyaki telah diperdaya serta mengalami kerugian RM496,000," katanya.
Beliau berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial