MUKAH, 13 Dis (Bernama) -- Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas tercampak ke laut apabila bot dinaikinya dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Sirik, Pulau Bruit, Daro pada Khamis, ditemukan lemas tengah hari tadi.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Komander Maritim Mahkos Juing berkata mayat Aldin Rakli, 59, ditemukan nelayan yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pada 12.05 tengah hari.
Beliau berkata mayat itu ditemukan pada kedudukan kira-kira 3.5 batu nautika barat laut dari Pantai Tekajong dan susulan penemuan tersebut, operasi itu ditamatkan pada 1.20 tengah hari.
“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Kampung Tekajong untuk pengesahan oleh Kementerian Kesihatan dan proses pengecaman ahli keluarga, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Daro bagi tindakan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi Khamis, mangsa bersama adik iparnya Kaharruddin Buang, 42, yang terselamat, sedang dalam perjalanan dari Kampung Betanak, Pulau Bruit ke Kuala Matu sebelum bot mereka dipukul ombak kuat ketika melalui perairan Tanjung Sirik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial