Beri Sokongan Kepada Kumpulan Daesh: Lelaki Warga Bangladesh Dipenjara 10 Tahun

12/12/2025 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh melalui aplikasi media sosial Facebook.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan pekerja restoran Mohammad Didarul Alam, 29, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 Julai lepas.

“Tertuduh diperintahkan kembali ke negara asal setelah selesai menjalani hukuman penjara,” katanya.

Mohammad Didarul didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama Al Mubin Islam di Pejabat Bahagian E8M, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada 8 pagi 27 Mei 2024. 

Dia didakwa mengikut Perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 40 tahun atau denda, dan harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas.

Berdasarkan fakta kes, siasatan polis mendapati akaun media sosial Facebook telah digunakan oleh tertuduh untuk mempromosikan Daesh dengan membuat hantaran, berkongsi gambar dan video berkaitan kumpulan pengganas itu.

Laporan analisis daripada penterjemah Bahasa Bengali juga mendapati tertuduh telah berkongsi video propaganda, dalil dan paparan gambar kumpulan pengganas itu di akaun Facebook miliknya. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mahamed memohon hukuman berat berbentuk pemenjaraan supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan warga asing lain khususnya yang terlibat dalam aktiviti keganasan.

“Tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun ini adalah kesalahan serius yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan negara,” katanya.

Mohammad Didarul, yang tidak diwakili peguam, pula merayu hukuman penjara minimum atas alasan dia menanggung keluarga dan ibu bapanya di Bangladesh.

“Saya datang ke Malaysia untuk bekerja dan saya memohon maaf atas kesalahan saya,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan