BUTTERWORTH, 11 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah rumah, dua bulan lepas.
Mohammad Zaini Yusoff, 26, dan Nurul Natasha Mohammad Shukri, 22, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, telah pecah masuk sebuah rumah di Taman Eco Meadows, Bukit Tambun, antara 2.30 pagi sehingga 5 pagi, 30 Sept dengan niat melakukan perbuatan mencuri.
Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, dan jika mencuri boleh dipenjara maksimun 14 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aini Yahya tidak menawarkan sebarang jaminan, dengan alasan terdapat risiko tertuduh mengulangi kesalahan tersebut dan ia akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman masyarakat, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Zulhazmi Abdullah kemudian membenarkan MOhammad Zaini dan Nurul Natasha diikat jamin RM8,000 setiap seorang, dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap hari dan menetapkan 14 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, Nurul Natasha juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi iaitu enam utas jam tangan pelbagai jenama bernilai RM20,000 milik seorang lelaki di ruang solat wanita sebuah kilang di Batu Kawan, pada 4.45 petang, 31 Okt.
Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan tersebut, mahkamah membenarkan Nurul Natasha diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 14 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial