Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Johari Akan Jumpa Dr Zaliha, Datuk Bandar Bincang Status Flat Seri Perlis 2

13/12/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa untuk mendapatkan pengesahan status pembangunan Flat Seri Perlis 2, Taman Datuk Keramat, di sini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata perbincangan yang turut melibatkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud itu penting bagi memastikan sebarang perancangan pembangunan semula perumahan awam berkenaan, sekiranya ada, mengambil kira kebajikan serta keperluan penduduk setempat.

“Penduduk memaklumkan kepada saya bahawa mereka tinggal dalam keadaan bimbang kerana mendengar pelbagai khabar angin mengenai kemungkinan pemindahan dan kehadiran pemaju yang berminat melakukan pembangunan semula,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni MADANI Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di perumahan awam itu hari ini.

Johari berkata buat masa ini, status perumahan awam terbabit kekal seperti sedia ada kerana tiada sebarang cadangan pembangunan khusus dikemukakan oleh mana-mana pemaju.

Beliau menegaskan sebarang cadangan pembangunan semula perlu melalui perbincangan melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kementerian berkaitan serta wakil rakyat kawasan terlibat.

Mengulas Program Santuni MADANI, Johari berkata inisiatif itu bertujuan mendekatkan pemimpin dengan rakyat, memahami kebimbangan penduduk secara langsung serta menyampaikan perkhidmatan kerajaan kepada komuniti setempat.

Dalam program berkenaan, lebih 300 ketua isi rumah daripada golongan asnaf menerima bantuan bakul makanan berisi barangan keperluan harian selain sumbangan barangan persekolahan kepada murid dan pelajar.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata beliau menjangkakan purata harga minyak sawit mentah (CPO) akan kekal melebihi RM4,000 setan metrik pada tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan