KUANTAN, 11 Dis (Bernama) -- Polis menahan pemandu kereta Mercedes Benz bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan pasangan suami isteri di Kilometer 4 berhampiran Kampung Ketari, Bentong, semalam.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata ujian air kencing lelaki berusia 40 tahun itu didapati negatif dan sampel darah juga diambil untuk analisis toksikologi.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Mercedes Benz dari arah Bentong menghala Kuala Lumpur memasuki laluan bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan Proton Saga sebelum hilang kawalan dan terlanggar Honda Civic pada bahagian sisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, sepasang suami isteri berusia 51 tahun maut dalam kemalangan pada 8.20 malam manakala anak mereka yang memandu kereta Proton Saga parah pada kepala.
Azry Akmar berkata pemandu Mercedes Benz tidak mengalami kecederaan serius manakala pemandu sebuah lagi kenderaan terlibat tidak cedera.
Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial