KOTA BHARU, 12 Dis (Bernama) -- Anggota tentera yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan sebuah kereta Proton Wira di Machang semalam, selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Nibong Kampung Padang Kala, Melor di sini pada 3.30 petang tadi.
Terdahulu, jenazah Sarjan Fahmey Darus, 39, dimandi dan dikafankan di Hospital Machang sebelum dibawa ke rumahnya yang terletak dekat Kampung Kedai Baru, Padang Kala di sini.
Solat jenazah di Masjid Mukim Padang Kala diimamkan oleh anak sulung Allahyarham, Ahmad Dhia UrrRahman, 14, dengan disertai lebih 100 jemaah yang hadir.
Kakak Allahyarham, Haniza Darus, 55, berkata pertemuan terakhir pada Rabu lepas mendapati arwah banyak berdiam diri malah menolak ajakan untuk makan bersama di sebuah kedai makan milik keluarga.
“Arwah merupakan anak kelapan daripada 10 beradik dan mempunyai lima anak berusia antara tiga hingga 14 tahun.
“Kami mengetahui mengenai pemergian arwah kira-kira 7.30 malam semalam setelah dihubungi isteri arwah, Nur Muzalifah Yahaya, 40, yang juga seorang anggota tentera di Pengkalan Chepa,” katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan tersebut hari ini.
Haniza berkata Allahyarham Fahmey sepatutnya bersara pada April tahun depan selepas berkhidmat lebih 20 tahun dalam pasukan beruniform itu dan pernah menyatakan hasrat untuk meneruskan kerja pendawaian elektrik selepas bersara nanti, selain sedang menyiapkan rumah miliknya di Kampung Kedai Baru, Melor.
Semalam, seorang anggota ATM maut manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan di Kilometer 37.8 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kampung Bukit Belah, Machang, pada 6.35 petang. Turut cedera pemandu kereta wira.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial