SPRM Jalin Kerjasama Dengan AKPS, Perkukuh Usaha Banteras Rasuah

10/12/2025 05:45 PM

SHAH ALAM, 10 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia berkongsi maklumat dan melaksanakan operasi bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh usaha membanteras rasuah serta salah laku.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada inisiatif dan sokongan penuh pihaknya terhadap kepimpinan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam melaksanakan ‘pembersihan dalaman’ dan pemerkasaan integriti agensi tersebut.

Beliau berkata AKPS yang merangkumi beberapa agensi utama termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia memerlukan penyelarasan rapi dari aspek penguatkuasaan bagi mempertingkatkan usaha membanteras rasuah dan isu integriti yang dilaksanakan Mohd Shuhaily.

"SPRM juga telah mengadakan beberapa perbincangan bagaimana kami boleh membantu beliau bagi melaksanakan pembersihan dalaman memandangkan beliau mengambil alih ramai pegawai dengan latar belakang serta sikap yang berbeza.

"Kami menghormati hala tuju yang diambil Datuk Seri Mohd Shuhaily dalam memastikan integriti AKPS terus diperkukuh, malah saya sendiri juga telah berbincang dengan beliau berhubung komitmen tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis SPRM-UiTM Inspirasi 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Terdahulu, Azam yang juga Profesor Adjung UiTM menyampaikan ucaptama bertajuk “Integriti Teras Kepimpinan, Amanah Asas Kejayaan” yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pegawai AKPS ditahan di Johor Bahru pada Ahad lepas bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penglibatan dalam kegiatan ‘pasport terbang’.

Penahanan oleh Unit Integriti AKPS itu dipercayai sebahagian daripada usaha berterusan agensi tersebut dalam membanteras kegiatan rasuah serta menghalang cubaan kemasukan warga asing secara tidak sah.

Dalam serbuan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu, pegawai terbabit dipercayai memiliki lapan pasport asing iaitu enam pasport China serta masing-masing satu pasport Indonesia dan Vietnam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan