SPRM Kedah Kemuka Syor Pengukuhan Tatakelola Pengurusan Tanah Negeri

11/12/2025 08:23 PM

ALOR SETAR, 11 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengemukakan beberapa syor penambahbaikan tatakelola bagi memperkukuh amalan pengurusan tanah Reserved Certificate (RC) dan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), di negeri itu. 

Menurut kenyataan SPRM, syor itu dibentang dalam sesi libat urus diketuai Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah Syed Aswadi Syed Soffian dan dihadiri Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah Mohd Tarmizi Abdul Rani serta Timbalan Pengarah (Pembangunan) Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah Amirah Khairiah Abdul Latip.

Menurut kenyataan itu, syor yang dibentangkan dalam sesi yang berlangsung di pejabat SUK Kedah di sini Isnin lepas itu, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan mempertingkatkan mutu penyelarasan dan kecekapan pentadbiran tanah negeri.

Penambahbaikan yang disyorkan memberi penekanan kepada pembinaan kerangka tatakelola lebih jelas, mudah dirujuk dan seragam antara agensi, termasuk usaha memperkemaskan dokumen panduan berkaitan pengurusan RC dan RIBI agar selari dengan keperluan semasa. 

"Pendekatan ini dijangka membantu meningkatkan kefahaman bersama serta memastikan setiap proses yang melibatkan urusan tanah dapat dilaksanakan dengan tahap ketelitian dan konsistensi yang lebih tinggi.

"Sebagai pelengkap kepada usaha itu, syor turut menumpukan kepada penambahbaikan sistem maklumat serta penyediaan rekod tanah yang lebih teratur dan sistematik bagi menyokong kecekapan pentadbiran," menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, penyediaan pangkalan data yang lebih komprehensif akan memperkukuh ketepatan rujukan, memudahkan akses maklumat serta meningkatkan keupayaan agensi dalam menyelaras tindakan berkaitan tanah RC dan RIBI.

Selain itu, SPRM Kedah turut mencadangkan agar sesi libat urus secara berkala antara SPRM, SUK dan PTG diwujudkan sebagai platform penyelarasan berterusan bagi memperkukuh perkongsian maklumat, memantapkan kerjasama operasi serta menyokong pelaksanaan tatakelola tanah secara lebih bersepadu dan responsif terhadap keperluan pentadbiran negeri.

Sementara itu, Syed Aswadi dalam kenyataan sama berkata usaha pengukuhan yang dicadangkan adalah langkah strategik untuk memastikan tadbir urus pengurusan tanah selaras dengan prinsip integriti dan akauntabiliti yang menjadi teras pentadbiran negeri.

“Setiap aspek pengurusan tanah perlu disokong kerangka tadbir urus yang jelas, telus dan konsisten,” katanya.

SUK dan PTG Kedah turut menyambut baik syor penambahbaikan tersebut dan bersetuju untuk meneliti serta melaksanakannya secara berperingkat dengan tempoh sasaran penyelarasan 12 bulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan