Polis Tahan Tukang Ambil, Rampas Cecair Ganja Bernilai RM586,500

09/12/2025 05:15 PM

KUCHING, 9 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 690 katrij berisi cecair disyaki ganja bernilai RM586,500 di pusat perkhidmatan kurier di Jalan Kong Ping, Padawan, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata suspek berusia 20 tahun dipercayai bertindak sebagai tukang ambil bungkusan ditahan pada 9 pagi di parkir pusat kurier itu.

“Pemeriksaan ke atas kotak dibawa suspek menemukan 690 katrij dengan ganja itu boleh digunakan sehingga 3,450 kali. 

“Polis turut menyita wang tunai RM470 dan motosikal Yamaha bernilai RM8,000 milik suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di sini hari ini.

Mohd Irwan Hafiz berkata siasatan awal mendapati suspek terlibat sejak September dan telah dua kali mengambil bungkusan untuk sindiket di pusat itu.

“Suspek menerima upah RM200 untuk mengambil bungkusan dan RM20 bagi setiap katrij dihantar kepada pelanggan di sekitar Kuching dan Padawan,” katanya.

Mohd Irwan Hafiz  berkata suspek direman sehingga 13 Dis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata siasatan juga dilakukan untuk mengesan ketua dan rangkaian sindiket operasi itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan