Azrol Anuar Dilantik Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara

01/12/2025 03:25 PM

JOHOR BAHRU, 1 Dis (Bernama) -- Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Supt Azrol Anuar Nor dilantik pemangku Ketua Polis Daerah JBU yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan SAC Balveer Singh Mahindar Singh, yang kini memegang jawatan sebagai Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas lebih dua tahun mengetuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas diadakan di IPD JBU, disaksikan Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad.

Azrol Anuar, 43, ketika ditemui menggesa semua pegawai dan anggotanya agar terus memberikan kerjasama yang jitu dalam membanteras kegiatan jenayah, sekali gus memastikan ketenteraman awam.

Beliau yang telah berkhidmat selama 22 tahun berkata usaha bagi mengurangkan kadar jenayah dan gejala buli merupakan antara fokus utamanya.

"Libat urus bersama pihak sekolah akan ditingkatkan, disamping menambah baik kawalan isu kesesakan lalu lintas dan memperkasa keselamatan awam," katanya yang berasal dari Kedah.

Dalam pada itu, Ab Rahaman yakin kawasan JBU yang merupakan kawasan berprofil tinggi dan padat dengan kepelbagaian komuniti akan ditadbir dengan baik.

"Saya yakin beliau sebagai pemangku, mampu meneruskan momentum kecemerlangan dan terus menjaga kesiapsiagaan, disiplin anggota, hubungan masyarakat dan imej pasukan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan