Banjir Di Hulu Langat, Polis Tutup Sementara Laluan Di Sungai Serai Dan Nanding

04/12/2025 11:09 AM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Polis menutup sementara dua laluan di kawasan Sungai Serai dan Nanding, Hulu Langat, Selangor yang terjejas akibat banjir berikutan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir itu pada 6.18 pagi.

"Laluan itu ditutup sementara kerana paras air semakin meningkat dan kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata paras air di Batu 18, Hulu Langat menunjukkan penurunan manakala di kawasan Batu 14 masih dinaiki air dan pihaknya telah menempatkan anggota untuk memantau situasi itu.

Naazron berkata polis bersama penduduk turut membantu menghantar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil dan SMK Dusun Nanding berikutan laluan ke sekolah terbabit dinaiki air.

"Setakat ini semua calon SPM di kawasan yang terjejas sudah dihantar ke pusat peperiksaan dan dalam proses menghantar seorang lagi calon," katanya.

Beliau berkata pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan terbabit telah diaktifkan dan menasihatkan penduduk yang terjejas banjir supaya segera berpindah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan